Wednesday, October 28, 2009

Aduhai Penan...


Kerajaan Negeri Sarawak perlu mengambil berat mengenai isu Penan. Penentangan terhadap kerajaan serta tidak ingkar dengan kerajaan negeri harus diperhalusi dan diekplorasikan. Penyelesaian perlu dilakukan sebelum keadaan menjadi sangat terlambat untuk mengubat hati yang luka. Suku kaum nomad kebiasaannya mempunyai semangat yang tinggi dalam mempertahankan prinsip dan maruah. Penan tergolong dalam suku nomad kerana kehidupan mereka yang berpindah rendah dalam mencari kehidupan.

Apabila kerajaan tidak mendengar suara dan rintihan rakyat dari golongan minority, sudah tentulah pihak yang mengambil berat akan nasib mereka seperti Pertubuhan Bukan Kerajaan – NGO akan menjadi sangat hampir kepada mereka.

Melalui akhbar , penentangan orang Penan terhadap empangan dan pembalakan sering dikaitkan dengan NGO. Penan dikatakan dipengaruhi oleh NGO kerana banyak menentang terhadap pembangunan yang hendak dibawakan oleh kerajaan. Namun pernahkah kerajaan Sarawak mendengar rintihan mereka?

Pemimpin Bumi Kenyalang seringkali mempersalahkan NGO, baik dari Negara luar mahupun dari bumi itu sendiri. Pelbagai pertubuhan bukan kerajaan di negeri itu memberikan suara mereka namun gagal ditangani dan didengar oleh kerajaan negeri Sarawak. Seolah kerajaan mempunyai sepasang telinga yang tuli dan pekak.

Pernahkah kerajaan Sarawak cuba memahami isi hati suku ini? Dengan tempat tinggal mereka diratah sehinggalah kepada anak-anak gadis mereka menjadi hamba seks kepada para pembalak yang begitu rakus menunjukkan kekuasaan ke atas masyarakat yang begitu lemah dan luhur hatinya. Dengan kenaifan Penan sebagai insan, mereka memerlukan dahan untuk berpaut bukannya ranting yang reput.

Penan mungkin naïf ( bukan semua Penan naif ) Suku kaum Orang Ulu mungkin mempunyai adiwira seperti Datuk Idris Jala, suku kaum Orang Ulu yang begitu cemerlang dalam kerjayanya. Mendaki puncak kegemilangannya satu persatu dan merupakan asset Negara yang sangat penting. Itu perjalanan beliau. Itu harga satu penghijrahan. Namun bagi mereka yang mahu terus kekal mendiami hutan rimba , itu adalah pilihan yang mereka ada. Proses perubahan memerlukan masa yang lama. Sejarah Amerika Syarikat juga melalui perjalanan yang jauh sebelum menjadi sebuah Negara yang dihormati di seluruh dunia malahan dianggap sebagai Polis Dunia.

Setiap manusia ada hak untuk memilih cara hidup mereka sendiri. Dalam soal mengenai kaum Penan- ramai yang mahu bertahan tidak kurang yang mahu berubah. Di Pensiangan, ketika di tahun 1970an, Kerajaan Usno telah memindahkan ramai penduduk di kawasan ulu dengan alasan pembangunan. Namun tidak kesemua mereka berpindah. Ia adalah sesuatu yang dalam di sudut hati untuk diterjemahkan. Di Kampung Kabu, di sempadan Indonesia – masih terdapat 10 buah keluarga yang enggan berpindah kerana merasakan tanah itu adalah jiwa dan hati mereka. Tidak semudah itu mereka mengalah kerana di situ wang bukan segalanya, meskipun mereka faham , anak-anak akan ketinggalan dan banyak kekurangan yang sentiasa mengiringi kehidupan. Namun itu satu ketabahan dan satu perasaan yang sukar dirungkai hanya sekadar dengan kata-kata.

Sebelum ini kerajaan Sarawak pernah menafikan berlakunya kes rogol dan hamba seks di kalangan wanita Penan. Namun hakikatnya kejadian itu adalah satu reality. Kerajaan Sarawak menuduh NGO memberi maklumat palsu mengenai kes rogol itu dan melindungi kezaliman yang dilakukan oleh para pembalak yang mempunyai undang-undang sendiri termasuklah menghalalkan perlakuan rogol sehingga menyebabkan terdapat wanita di kalangan kaum itu mengandung anak haram. Yang malangnya , anak-anak perempuan yang bersekolah , menempuhi perjalanan jauh untuk kembali ke rumah dirogol dalam perjalanan dengan menumpang kenderaan balak. Wanita kita menjadi mangsa nafsu serakah manusia bertopengkan syaitan.

Pada hari ini kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pembangunan Wanita , Keluarga dan Masyarakat mengakui dakwaan berhubung penderaan seksual di kalangan kanak-kanak dan wanita Penan oleh orang luar termasuk pekerja dan pembalakan adalah benar. (Daily Express 28 Oktober 2009 ) -- Maka dalam soal ini kerajaan Negeri Sarawak telah gagal melindungi masyarakat Penan, dan sebelum ini mereka menafikan berlakunya kes seumpama ini.

Pembalakan telah memusnahkan kehidupan sebuah masyarakat yang selama ini mempunyai kehidupan yang tenang dan aman. Dengan pendapatan berbillion melalui pembalakan, kerajaan Sarawak masih belum dapat menangani masalah berkaitan dengan kebajikan hidup Penan.

Sabah dan Sarawak menyertai penubuhan sebuah kerajaan Malaysia yang wujud pada tahun 16 September 1963. Seperti pepatah Barat, semakin lama wain itu disimpan semakin manis rasanya, namun pemerintah kedua negeri masih belum mampu menangani masalah dalaman meskipun telah berusia lebih dari seorang lelaki dewasa.

Di negara ini, terdapat banyak bangsa minoriti yang sama taraf dan berhak atas konsep 1Malaysia.

Tuesday, May 19, 2009

Kejutan di Hari Kaamatan

Ini tupai yang dimasak mengikut citarasa mereka

ini pula ialah biawak...tak tau pula rasanya...tak berani nak test...

Kalau tak silap ini daging katak...pun tak berani mau cuba...


dan ini biasalah...tuntul (siput sungai) ...dan macam2 jenis makanan kampung.
Saya suka makan itu mangga tuh...

Kotobian Tadau tagazo do kaamatan..saya kira dimana-mana tempat yang ada orang Kadazan, Dusun, Murut dan suku-suku kaumnya sekarang ni sibuk meraikan Pesta Kaamatan. Lagu-lagu Kaamatan yang membuat air mata mengalir atau sebak kerana kita dapat meraikan Pesta Kaamatan, mengingat nenekmoyang kita dulu2 yang telah merintis kepada kehidupan yang lebih baik dan macam-macam la bentuk ' fikiran ' yang membolehkan kita meneruskan kehidupan serta masa depan.
Pesta Kaamatan bagi saya amat bermakna, kerana ia menjadi lambang perpaduan diantara suku kaum di Sabah. Tak kiralah sama ada ia berada dalam rumpun KDM ( Kadazan, Dusun, Murut) atau tidak , kita sama-sama meraikannya. sempena kaamatan juga kita melihat pelbagai etnik KDM yang ditonjolkan sepanjang perayaan , dan pada ketika ini turut diselitkan dengan Sabah Fiest.
Apakah yang menarik dalam Pesta Kaamatan? setiap individu mempunyai pendapatnya sendiri. Ada yang suka kepada budaya, muzik, sukan, makanan, minuman, juga kepada pertandingan Unduk Ngadau. Bagi saya , Kaamatan adalah satu perayaan yang sangat siginfikan bagi masyarakat KDM yang telah berpecah belah kerana perbezaan politik. Perayaan ini membuat kita rasa sebak di dada melihat para pemimpin kita duduk satu meja dan makan minum bersama-sama. Mereka ketawa dan gembira bersama-sama. Menolak perbezaan pendapat masing-masing demi menghormati budaya yang kita warisi dari nenek moyang kita- kita melihatnya disini iaitu di Pesta Kaamatan.
Melalui ruangan ini saya memberi anda melihat koleksi gambar yang saya kutip sempena Pesta Kaamatan di kawasan Daerah Kecil Sook.
Makanan - makanan ini gila bagi diri saya yang mencintai binatang...tetapi di zaman nenek moyang kita dan moyang-moyang mereka...ia bukanlah satu kejutan malahan kebanggaan.

Selamat Menyambut Hari Kaamatan.

rozie

Friday, May 15, 2009

MARI MENANAM GAHARU




Sejak kebelakangan ini saya menerima banyak panggilan mengenai pokok gaharu, mengenai masa depan pokok gaharu dan macam-macam lagi lah yang ditanya kawan-kawan kita sama ada melalui panggilan atau email. Saya mengucapkan berbanyak berterima kasih diatas minat kalian mengenai pokok gaharu atau kita namakannya sebagai pokok jutawan.

Untuk pengetahuan negeri Sabah dan khususnya Borneo adalah penghasil pokok gaharu dari jenis acquilare malacanse. Namun menurut sifu saya, saudara Pilipus Pur, apa pun jenis pokok gaharu itu, jika dijaga dan disuntik apa bila masanya tetap memberikan hasil. Jangankan pokoknya , malahan dahannya pun boleh menghasilkan enzim. Daun, ranting, kayu buangan pun hasilkan duit…

Bagi mereka berminat untuk menanam pokok gaharu, pokok ini boleh ditanam di halaman rumah. Seperti tumbuhan yang lain , pokok gaharu juga memerlukan perhatian dari penanamnya. Mungkin juga anda tidak perlu menghebohkannya kerana faktor keselamatan tanaman anda di masa yang akan datang. Banyak kejadian dimana pokok gaharu yang ditanam hilang dicabut orang.

Sifu saya berkata, satu ekar boleh memuatkan kira-kira 460 pokok dengan cara penanaman antara 10 X 10 atau 10 X 8. Cuba bayangkan jika sepokok ianya adalah berharga RM5000, bukankah ianya RM2.3 juta? Itupun anggaran paling murah. Sepokok dijangka boleh mencecah harga antara RM15 ribu.

Mengapa kita menanam gaharu? mungkin kerana imbuhannya? Itu tidak lari. Kerana apa pun yang kita lakukan harus memberikan kepuasan kepada diri kita sendiri. Saya minat dengan gaharu kerana ia amat menarik bagi diri saya sendiri. Saya obsess dengan pembuatan minyak wangi. Selama ini , jutaan mungkin billion telah dicuri di hutan kita semata-mata untuk memenuhi permintaan terhadap gaharu di seluruh dunia. Orang dari Thailand menceroboh masuk hutan kita kerana di tempat mereka sudah kekurangan sumber. Kita juga berada di landasan yang tepat untuk menanam pokok gaharu kerana hukuman berat menanti orang yang mencuri kayu gaharu di hutan.

Apakah masa depan gaharu? selagi ada manusia wujud di muka bumi. Selagi itulah kita menggunakan gaharu. Agama Kristian, Hindu, Buddha dan Islam juga menggunakan minyak gaharu dalam upacara keagamaan. Permintaan untuk kosmetik juga meningkat. Dan sudah tentu imbuhan bagi mereka yang sabar dan tabah sedia menanti…

Tidak hairan pada satu hari nanti maka timbullah produk tempatan berasaskan minyak gaharu yang mungkin dinamakan huminodun, sumandak, huguan siou, kinabalu dan sebagainya.

Kepada anda yang berminat untuk buat tempahan anda boleh call saya 016-8351291 atau email ke
wendyrozie@hotmail.com . Bibit berharga antara RM5 keatas mengikut umur bibit. Bagi jumlah yang banyak mungkin boleh dipertimbangkan untuk penghantaran.

Selamat menanam pokok gaharu

Wednesday, April 22, 2009

Teringat zaman kanak-kanak


Seingat saya la, pertama kali saya dibawa ke bendang ketika umur dalam lima atau enam tahun. zaman dulu di kampung saya, mana ada tadika. jadi biasanya kalau tidak kena bawa pigi sawah atau pigi kebun, saya main dengan kawan-kawan yang dekat-dekat rumah la. sambil naik itu pokok jarak, main baling2 buah dia atau main tiup2 getah dia keluar belon2...punya siok. tau-tau sekarang rupa-rupanya ada harga pula buah pokok jarak ini...RM800 satu tan geng. orang bilang, punya murah...tapi bagi saya , itu duit maaaa....kan...siapa mau bagi, kalau tidak kena usaha sendiri.

sya ingat waktu mula dulu sya pegi sawah. bapa sya lah yang mula-mula bawa. dia terpaksa bawa sya pg sawah kerana sya kan ' ekor' bapa sya dulu dulu...kalau dia jalan sja sya mesti mau ikut..mana saja dia pergi saya mahu ikut.

dipendekkan cerita, adalah satu hari bapa sya mau tingu dia punya padi yang menguning. nama kawasan padi kami itu ialah Donibung. sya suka nama itu klasik betul. so. mcm biasa la ' anak bapa' mahu ikut juga. kami jalan kaki masa itu belum ada paganuan beli kereta. seronok juga la jalan kaki ikut beliau. cantik pemandangan sekitar kawasan sawah padi yang mulai menguning. wangi tau kalau musim padi berbuah. kalau tak caya cuba try pigi sawah padi , lagi wangi kalau waktu pagi.

sampai sahaja di Donibung. terus saya panjat beliau sya. sya betul-betul terkejut nampak bentuk orang tapi muka dia rumput, ada sirung, lengkap pakaian segala. macam di gambar ini yang saya rakam di kampung Simbuan, Sook. Sya nampak sahaja ' tulun-ulun' ni sya teringat zaman dulu sya.. uiii bukan main sya teriak menangis ketakutan...apa lagi kalau tangan dia itu kena tiup angin, goyang2...ntah la...perasaan saya masa itu...itulah hantu...hahahaha...

sejak dari itu bapa sya guna si hantu ini sebagai lesen dia kalau dia mahu jalan...

kalau kebetulan ada lagi ramai2 di sulap lepas mengetam padi. sya la budak yang tidak pandai turun tanah kalau suda petang2. sya benci betul itu ' orang-orang'. kalau siang2 sya selalu humban pakai kayu atau batu bei...punya teruk tanggapan saya sama itu ' orang-orang'.

bila sya besar sikit, dan ada gambar dia di buku teks baru sya faham itu apa ...aiyaa..
dan sya pun pandai buat tulun - ulun di sawah kami ...cantik dan seksi lagi...dia punya pantang itu tidak boleh pakai baju merah, nanti jadi tarikan si burung pipit. nda tau la di tempat lain..

apa pun thanks to my dady and my mom...kalau bukan mereka, siapa la sya pada hari ini..dan sya tidak sama sekali lupa asal usul sya...

salam






Monday, April 6, 2009

Biadap Punya Orang

Apabila Perdana Menteri kita yang baru, Datuk Najib Tun Razak mengistiharkan pembebasan tahanan ISA sempena perlantikan beliau menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Satu perkara yang penuh biadap berlaku di Pantai Timur. Mereka membakar bendera Sabah , lambang kewujudan sebuah negeri merdeka yang bernama Sabah.

Dalam kejadian itu seramai lelaki yang mengadakan perhimpunan secara haram dan bertindak membakar bendera Sabah di pekan Lahad Datu. Dalam kejadian kira-kira pada pukul 8.40 pagi itu, sekumpulan lelaki yang turut membawa tiga bendera kuning bergambar singa merah.


Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, kesemua suspek yang berumur antara 14 hingga 41 tahun itu ditahan di hadapan perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu pada pukul 9.35 pagi.

Dalam kejadian itu sebanyak enam bendera Sabah telah dibakar di dua tempat berasingan iaitu di hadapan Pasar Rakyat Lahad Datu dan di depan sebuah pasar raya Milimewa.

Mengikut susualan berita seterusnya, perhimpunan ini dicetuskan oleh seseorang yang mendakwa sebagai keturunan waris sultan Sulu. Apa yang dikesalkan ialah mereka yang terlibat ini adalah warganegara, yang diberi perlindungan oleh kerajaan.

Jika mereka tidak tahu bersyukur berada di negara ini, khususnya di negeri Sabah. Atau mungkin mereka mendapat kad pengenalan diri dengan cara yang salah. Adalah lebih baik hantar mereka pulang ke tempat asal mereka. Atau serahkan mereka kepada ISA.

Jika mereka orang tempatan, nampaknya orang-orang ini tidak mempunyai semangat patriotik.

Monday, March 30, 2009

Mutalib MD mahu berhenti jadi blogger tanam pokok jarak ?

Pengendali sabahkini.net mahu jadi tokey pokok jarak la pula...

Ketika sedang mengikuti perkembangan muktahir pemilihan kepimpinan UMNO yang baru lalu. Saya menerima khidmat pesanan ringkas (sms) dari Presiden Persatuan Blogger Sabah (PBS) yang juga peneraju sabahkini.net. Saudara Mutalib MD memberitahu saya yang beliau akan ke Keningau pada keesokan harinya. Katanya hendak melawat projek jatropha di sekitar kawasan Bingkor.

Sekaligus saya mendapat ilham untuk menulis sesuatu mengenai pokok jarak yang boleh menghasilkan bio-diesel. Setahu saya , negara India dan Indonesia telah lama menanam pokok jarak ini. Malahan mereka memproses sendiri minyak dari buah pokok jarak dan minyak itu digunakan untuk kenderaan. Jimatkan...

Saya tidak dapat membayangkan pada satu ketika nanti , saya memproses minyak untuk kegunaan kenderaan sendiri. Ini kerana saya sendiri berminat dengan pokok jarak. Orang Dusun Kota Belud menamakannya belija. Dulu di kampung saya di Kampung Piasau, Kota Belud, pokok belija banyak tumbuh dimana-mana. Lebat-lebat lagi buahnya, batang-batang pun besar macam batang pokok betik.

Kalau di masa itu pokok jarak berharga seperti ini, sudah lama kita kaya.

Kami sering menggunakan buah belija yang jatuh dan dibakar. Ia mengeluarkan api kebiru-biruan ibarat api dari dapur gas jika kita meletakkan sesuatu di hujungnya. Getah dari daunnya pula boleh digunakan untuk menghentikan pendarahan pada luka. Manakala pokoknya boleh dibuat pagar. Seingat saya pokok ini cepat tumbuh semula. Makin lagi lebat apabila dipotong kerana ia mengeluarkan tunas baru.

Dalam keadaan minyak semakin berkurangan di dunia ini, mendapatkan hasil minyak berasaskan tumbuhan , ada manfaatnya juga. Peperangan berlaku kerana berebutkan minyak. Sabah, pengeluar minyak terbesar di Malaysia pun tidak mendapat imbuhan setimpal dari hasil pengeluaran atau sumbangannya kepada ekonomi negara. Boleh dikatakan apa yang kita dapat ialah ‘ tempias tempias ‘ sahaja atau boleh dikatakan ‘ asal ada’.

Lawatan kami ke ladang pokok jarak di Mongitom dan tapak semaian pokok jarak Bionas di Kampung Bunga Raya telah memberi manfaat kepada diri saya sendiri. Saya mengetahui dengan jelas mengenai kelebihan pokok jarak. Penanamannya mudah dikendalikan dan boleh dibuat. Pada ketika ini saya dimaklumkan buah jarak dibeli dengan harga RM800 setan.

Dari kita duduk diam-diam di rumah, lebih baik kita cari peluang. Stigma “saya sekolah tinggi “ atau “saya tidak dilahirkan sebagai petani”, harus diketepikan. Tolak perasaan malu anda itu. Ada orang lulus dalam bidang undang-undang tetapi dianugerahkan sebagai Usahawan Tani atau Usahawan Ternak. Di Amerika, golongan jutawan adalah terdiri dari kalangan petani. Saya syorkan anda menanam pokok jarak. Kalau mahu cari bibit pergi sahaja ke Kg Bunga Raya. Bibit mereka datangnya dari India dan Thailand.

Berbalik kepada kisah Mutalib MD tadi, rupa-rupanya dia datang bersama dengan kawan-kawannya yang ingin tahu sangat dengan penananam pokok jarak. Habis kena inteviu orang-orang di ladang Bionas. Dan macam biasalah, Mutalib MD yang saya kenal sejak tahun 1998 itu , mencari scoop lagi eklusif untuk sabahkini.net. Kalau mahu tahu hasil lawatannya anda boleh melayari laman web beliau- ada kisah biawak di Kampung Bunga Raya, dan pembangunan yang dibuat oleh kedua wakil rakyat Adun Bingkor dan Ahli Parlimen Keningau di kawasan itu. Ada banyak kejutan dipaparkan di sabahkini.net.

Terima kasih kepada Pengerusi JKKK Kg Pegansangan, Juse Loibin yang mengiringi perjalanan kami.

salam

Sunday, March 22, 2009

Majikan tidak bayar levi pekerja Indon di Sabah








Keningau : Hanya 11 ribu pekerja warga Indonesia dibayar levi oleh majikan berbanding kehadiran mereka yang mencecah 216,367 orang di negeri Sabah. Kebanyakan mereka ini adalah pekerja di sector perladangan. Daripada jumlah itu sebanyak 5017 pasport telah dikeluarkan, selebihnya hanya levi yang dibayar.
Pemangku Konsol Jeneral Republik Indonesia di Negeri Sabah, Rudhito Widagdo berkata, jumlah itu sangat sedikit dan pemerintah Indonesia mahu majikan tampil ke hadapan untuk memastikan pekerja Indonesia di negeri ini mendapat perlindungan dan bekerja dengan tenang.
Beliau yang ditemui di Gerakan Pendaftaran Dokumen terhadap warga Indonesia di Dewan Tai Chi disini menegaskan , pekerja yang dibayar levi harus dibawa ke Pejabat Konsul agar kedudukan warga Indonsia diketahui.
Rudhito berkata pendaftaran selama dua hari bermula sejak hari sabtu dengan jumlah yang berjaya didaftakan seramai 600 orang. Gerakan itu adalah pertama kali dibuat dengan kerjasama antara Kerajaan Republik Indonesia dan kerajaan Negeri Sabah.
“ Kami punya komitmen untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri Sabah dalam pelaksanaan pendaftarandan diberi kebebasan serta perlindungan untuk melayani rakyat Indonesia disini,” ujar Rudhito .Yang mana kata Rudhito mereka mahu semua rakyat Indonesia di negeri ini mendapat dokumen diri.
Sehubungan dengan itu kata Rudhito, Pemerintah Indonesia meminta agar majikan segera membayar levi pekerja mereka dan kemudian dibawa kepada Pejabat Konsul.
“ Jangan tunggu sehingga hujung bulan Mei untuk mendaftarkan mereka. Ini amat penting untuk kita semua,”. Dimana kata Rudhito, kerajaan Negeri Sabah telah memberi tempoh sehingga bulan Mei untuk para majikan berbuat demikian.
Menurut Rudhito , kehadiran pekerja Indonesia juga memberi kesan yang baik kepada ekonomi negeri ini.
Mengenai gerakan itu Rudhito berkata , program seumpama itu akan dibawa ke kawasan-kawasan lain di Sabah.
Beliau juga meminta para tekong yang sering menggunakan jalan-jalan tikus di Kalabakan agar menghentikan perbuatan mereka mengeksport tenaga manusia secara haram.
“ Perbuatan (mengeksport) ini menyulitkan kedua belah pihak dan menurunkan darjat dan hubungan luar negeri antara kerajaan Malaysia dan Indonesia,” kata Rudhito.
Dalam satu soalan yang lain , Rudhito berkata , pejabat Konsul tidak memberi pertimbangan kepada mana-mana warganya yang melakukan kesalahan, dan jika disabitkan kesalahan, mereka harus dihukum dengan setimpalnya.
Namun katanya, para majikan yang melakukan kesalahan juga harus dihukum agar menjadi pengajaran kepada yang lain.
Beliau berkata suasana di Sabah sangat baik, dan tidak terdapat kes-kes yang membabitkan kekerasan dan keganasan seperti mana yang dialami di tempat yang lain.